Selasa, 18 Mac 2008

Pantang-Larang Masyarakat Melayu

Cikgu ada terbaca petikan ini di Berita Harian pada minggu lalu.

BILA KUPU-KUPU MASUK KE RUMAH...
Kepercayaan turun-temurun masyarakat Melayu
Oleh Noor Hasnah Adam


ADA banyak kepercayaan masyarakat Melayu yang berhubungan dengan tanda-tanda alam.

Ramai yang masih mempercayainya dan tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai kepercayaan tahayul. Tanda-tanda alam itu boleh memberi gambaran maksud negatif atau positif.

Misalnya, seseorang yang sedang sakit tenat, tiba-tiba didekati atau dihinggapi kupu-kupu, dipercayai kehidupannya sudah tidak lama lagi.

Kalau kupu-kupu masuk ke dalam sesebuah rumah, itu menandakan ada orang jauh yang akan datang ke rumah.

Jika anjing menyalak lama di tengah malam, masyarakat Melayu percaya adanya makhluk halus yang berkeliaran.

Demikian pula jika terdengar suara burung hantu atau gagak hitam di tengah malam, itu petanda musibah.

Sekiranya langit cerah dan berwarna merah di waktu malam, itu menandakan seorang raja sedang nazak atau sudah menemui ajalnya.

Biasanya kita difahamkan, kalau katak berbunyi, itu petanda hari nak hujan.

Namun ada juga yang mempercayai kalau katak berbunyi bersahut-sahutan, bermaksud akan berlaku ribut puting beliung.

Begitu juga, jika banyak kelkatu naik menghurungi cahaya lampu, itu menandakan akan berlaku banjir.

Kucing adalah binatang yang rapat dengan orang Melayu selain ayam.

Justeru banyak petanda yang ditunjukkan oleh kucing yang ditanggap orang Melayu mempunyai maksud tertentu.

Kata orang, kalau ada kucing membersihkan muka di hadapan pintu, itu menunjukkan akan didatangi tetamu yang cantik dan pembersih.

Sekiranya ada burung yang tersesat ke dalam rumah kita juga menunjukkan tuan rumah akan mendapat rezeki dan ada tetamu yang akan datang.

Namun kalau kumbang atau belalang pelesit yang masuk ke dalam rumah, bermaksud ada benda mistik yang tak elok bertandang.

Cicak pula memang ada di mana-mana. Jika cicak berbunyi, itu menunjukkan cicak mengiyakan percakapan kita. Cicak dianggap berkata atas dasar kebenaran.

Sekiranya kita berjalan dan dilintasi binatang juga mempunyai beberapa maksud.

Kalau kucing yang melintas jalan kita, itu bermaksud kita akan berjumpa kawan di dalam perjalanan.

Namun kalau biawak yang melintas jalan kita, bersedia untuk menanggung beban.

Mungkin melalui kepercayaan inilah wujudnya peribahasa 'biawak hidup' yang menyamakannya dengan manusia yang tidak memberi hasil dan hanya membebankan orang lain.

Sekiranya kita didatangi binatang-binatang tertentu seperti kala jengking, katak, cengkerik, belalang, kupu-kupu, kumbang, dan sebagainya, sebaik-baiknya tidak diganggu atau dibunuh.
Sewajarnya ditangkap dan dilepaskan di luar rumah kerana kehadiran binatang-binatang ini terjadi secara alamiah.


Walaupun kebenaran daripada tanda-tanda yang terjadi ini kadangkala banyak diragui, namun ada kalanya memang wujud hubungan antara kejadian-kejadian tersebut dengan hukum alam. Hanya Tuhan yang tahu segalanya.

Inilah yang dikatakan dalam Bahasa Inggeris "superstitions".

Pantang-larang ini berasal daripada masyarakat lama. Zaman datuk nenek dan moyang kita sejak berabad yang lalu.

Adakah kamu percaya akan pantang-larang ini?

Apakah pantang-larang masyarakat Melayu lain yang pernah kamu dengar? Cuba tanya kepada ibu, datuk, nenek atau anggota keluarga kamu yang sudah tua.
Tentu mereka mempunyai cerita mereka sendiri.

Mari kita bincangkan!

Selasa, 4 Mac 2008

Topik 1: Orang-orang yang kita sayangi

Semalam kita da membincangkan tentang menghargai orang-orang yang kita sayangi dan juga orang-orang yang menyayangi diri kita.


Siapakah orang-orang yang kamu sayangi?
Siapakah orang-orang yang menyayangi kamu?


Seringkali kita terlupa mengenai orang-orang ini.
Lantas kita menyakiti hati mereka,
kita biadap terhadap mereka,
kita terkasar bahasa apabila berbicara dengan mereka.



Tetapi kita juga sedar
Kadang-kala hati dan perasaan kita juga mereka sakiti.


Jadi bagaimana, ya?

Apakah perasaan dan fikiran kamu terhadap topik ini?
Adakah kamu mempunyai pengalaman yang ingin kamu berkongsi?
Apakah yang akan kamu lakukan jika perkara sebegini berlaku?


Cikgu dan rakan-rakan yang lain ingin mendengarnya!

Isnin, 3 Mac 2008

Selamat Datang!

Selamat datang ke blog kita yang pertama ini.

Ini merupakan wadah untuk kita berkongsi fikiran dan idea sekelas, pada masa yang sama melatih diri supaya "bercakap" dan menulis dalam Bahasa Melayu yang baik.

Cikgu akan naik muatkan beberapa artikel atau tajuk -tajuk yang menarik, yang telah menjadi perbualan hangat di dalam kelas kita.

Selalu-selalulah dan rajin-rajinlah melungsuri blog ini dan mengambil bahagian di dalam perbincangan ini.

Perbincangan dan participation kamu dalam blog ini akan menjadi sebahagian daripada markah CME kamu.

Undang-Undang:
1. Hanya penggunaan Bahasa Melayu sahaja yang dibenarkan.
2. Jangan menggunakan Bahasa Inggeris.
3. Jangan menggunakan singakatan-singkatan atau short form.
4. Jaga etika blog. Jangan gunakan bahasa yang kesat dalam komen kamu.

Cikgu harap dengan wujudnya blog ini, dapatlah kamu mengasah idea-idea kamu dan meluahkannya dalam Bahasa Melayu!

Selamat Berbincang!!!